10,000 sertai Larian Wira 2025 – Night Run anjuran LTAT
PUTRAJAYA – Seramai 10,000 peserta mengambil bahagian dalam acara Larian Wira 2025 – Night Run anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang berlangsung di Dataran Wawasan, di sini malam tadi.
Bertemakan ‘Demi Wira Kami’, acara larian tahunan itu diadakan bagi menghargai pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Buat julung kali, penganjuran tahun ini berlangsung pada waktu malam dan menawarkan tiga kategori larian iaitu Fun Run 5 kilometer (km), Fun Run 10km dan Half Marathon 21.1km.
Malah, segmen Fun Run 5km turut disertai oleh 22 kanak-kanak istimewa dari Incredible Warrior Club.
Salah satu tumpuan utama acara adalah hebahan Kempen Tabung Pahlawan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
Ia bertujuan mengumpul dana bagi membantu veteran ATM yang memerlukan termasuk mereka yang sakit, kurang upaya atau hidup bersendirian.
Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin TUDM (Bersara) berkata, penganjuran Larian Wira bukan sahaja mencerminkan perpaduan rakyat, malah sebagai tanda penghargaan terhadap wira negara.
“Mereka inilah wira sejati tanah air yang bertugas tanpa mengira siang atau malam demi memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi turut menyatakan rasa bangga atas sambutan luar biasa yang diterima.
“Larian ini membuktikan penghargaan rakyat kepada wira negara tidak pernah pudar. LTAT akan terus menjadikan ia sebagai platform merapatkan hubungan masyarakat dengan ATM,” katanya.
Acara turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti Zumba Night Warm-Up oleh Badan Kesenian Tentera Udara (BKTU), persembahan Hakka oleh PALAPES Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Drumline ATM serta pameran kesihatan dan ketenteraan.

Syarikat-syarikat di bawah Kumpulan LTAT termasuk Affin Bank, BHPetrol dan AHAM Capital turut membuka reruai pameran di samping penyertaan trak makanan yang melengkapkan pengalaman pengunjung.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM, barisan pengurusan tertinggi LTAT serta wakil-wakil syarikat berkaitan.
Sementara itu, Tengku Muhammad Fauzi ketika ditemui berkata, sempena acara tersebut, ATM turut mengambil peluang mempromosikan peluang kerjaya sebagai anggota tentera kepada golongan muda.

“Mereka boleh menyertai secara tetap atau terlibat dengan pasukan simpanan seperti askar wataniah bagi tentera darat atau pasukan simpanan bagi tentera laut dan udara.
“ATM adalah benteng pertahanan negara namun tugas menjaga keselamatan tanah air bukan terletak pada kami semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama melibatkan masyarakat dan keseluruhan agensi,” katanya.
Beliau berkata, pada acara itu, pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap agensi di bawah Kementerian Pertahanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




