100PLUS lanjut penajaan bersama FAM hingga 2026
KUALA LUMPUR – 100PLUS, minuman isotonik nombor satu di Malaysia, meneruskan komitmen terhadap pembangunan bola sepak tanah air dengan melanjutkan kerjasama bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tempoh dua tahun lagi sehingga akhir 2026.
Menerusi perjanjian ini, 100PLUS kekal sebagai Rakan Minuman Isotonik Rasmi pasukan bola sepak kebangsaan lelaki, wanita, futsal dan skuad remaja.
Beberapa kejohanan anjuran FAM termasuk Piala Tun Sharifah Rodziah dan Liga Futsal Premier Malaysia turut menerima manfaat daripada penajaan ini.
Pemain kebangsaan juga akan dibekalkan dengan air mineral dan minuman Ice Mountain.
Pengarah Urusan Bahagian Makanan & Libat Urus Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff berkata, kerjasama berterusan itu adalah bukti kesetiaan 100PLUS dalam menyokong bola sepak Malaysia.
“100PLUS sentiasa komited terhadap bola sepak di Malaysia. Kami percaya kerjasama dengan FAM adalah cara terbaik untuk menyumbang kepada pembangunan sukan ini.
“Hubungan baik yang terjalin selama ini membuatkan kami berbesar hati untuk melanjutkan kerjasama bagi tempoh dua tahun lagi,” katanya pada majlis menandatangani pembaharuan kerjasama hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi; Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran FAM, Datuk Sivasundaram Sithamparam Pillai; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya; Setiausaha Agung FAM, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; serta Ketua Pegawai Pemasaran F&N Beverages Marketing, Leong Wai Yin.
Datuk Seri Mohd Yusri dalam ucapannya berkata, kerjasama itu mencerminkan kepercayaan 100PLUS yang tidak berbelah bahagi terhadap FAM sejak lebih sedekad lalu.
“Hubungan yang dibina berasaskan kepercayaan dan komitmen bersama ini telah menyumbang banyak kepada pembangunan bola sepak Malaysia.
“100PLUS bukan sekadar rakan korporat, tetapi teman sejati yang berdiri bersama kami dalam memajukan bola sepak negara,” katanya lagi.
Sebagai jenama yang sinonim dengan sukan, 100PLUS turut menaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara serta menjadi penaja utama Anugerah 100PLUS Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












