JENAYAH & MAHKAMAH

Operasi banteras scammer, 1,070 individu ditahan sepanjang 2025

KUALA LUMPUR – Polis menahan 1,070 individu dalam serbuan ke atas 97 pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian di ibu negara, sepanjang tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, operasi berkenaan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.

“Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 600 individu adalah warga tempatan manakala 470 lagi membabitkan warga asing.

“Kesemua serbuan dilakukan ke atas beberapa premis kediaman yang dijadikan pusat operasi haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil turut memberitahu, hasil operasi berkenaan, pihak polis turut merampas sebanyak 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa, selain wang tunai berjumlah RM5.06 juta.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, kesemua individu yang ditahan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk penipuan tawaran pekerjaan, pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud serta aktiviti penipuan lain.

“Kesemua ditangkap telah didakwa di Mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran dokumen perjalanan melibatkan warga asing,” katanya lagi.

Fadil kemudainnya menambah, pihaknya akan mempergiatkan operasi secara berterusan bagi memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button