LUAR NEGARA

109 maut di Gaza, Trump dakwa Israel setuju syarat gencatan senjata

GAZA – Sekurang-kurangnya 109 rakyat Palestin dilaporkan terkorban ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Israel telah bersetuju dengan ‘syarat-syarat yang diperlukan’ bagi melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari.

Menurut laporan agensi berita Al Jazeera yang memetik sumber perubatan, serangan udara yang dilancarkan tentera Israel menyasarkan kawasan kediaman di bahagian utara dan selatan wilayah itu, menyebabkan angka korban terus meningkat.

Trump dalam kenyataan menerusi laman Truth Social berkata, Washington akan berusaha memastikan tempoh gencatan senjata itu dimanfaatkan bagi menamatkan peperangan yang berlarutan sejak Oktober lalu.

Beliau turut mendesak Hamas agar menyetujui perjanjian yang dikemukakan bagi memberi laluan kepada rundingan lebih menyeluruh.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadualkan mengadakan lawatan ke Washington minggu hadapan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai haluan baharu konflik tersebut.

Related Articles

Trump mendakwa Netanyahu menunjukkan komitmen untuk menamatkan perang, namun dalam masa sama, serangan tentera Israel dilaporkan terus dipertingkatkan di beberapa lokasi.

Antara korban terbaharu termasuk 16 rakyat Palestin yang maut akibat kelaparan ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah entiti yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Mangsa dilaporkan ditembak ketika berada di kawasan agihan bantuan, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 600 rakyat Palestin maut di pusat-pusat agihan sejak penghujung Mei lalu.

Sehubungan itu, lebih 170 organisasi kemanusiaan dan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa menggesa agar operasi GHF dihentikan serta-merta, dengan mendakwa badan itu melanggar prinsip kemanusiaan sejagat.

“Rakyat Gaza terpaksa memilih antara kebuluran atau risiko ditembak ketika mendapatkan makanan,” menurut satu kenyataan bersama NGO antarabangsa.

“GHF hanya membawa kelaparan dan peluru kepada penduduk Gaza,” tambah kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita WAFA melaporkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam satu serangan dron Israel ke atas sekumpulan orang awam di Bandar Gaza, kawasan yang sebelum ini dikenakan perintah pemindahan paksa oleh tentera Zionis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan lebih 82 peratus wilayah Gaza kini diisytiharkan sebagai zon ketenteraan atau berada di bawah ancaman pemindahan, sekali gus menyebabkan hampir seluruh penduduknya tidak lagi memiliki tempat perlindungan yang selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button