BERITA SEMASALUAR NEGARA

11 maut, tren penumpang rempuh tren kargo di India

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh apabila sebuah tren penumpang bertembung dengan tren kargo di wilayah tengah India, petang Selasa (waktu tempatan).

Menurut pegawai kanan kerajaan, Sanjay Agarwal, kejadian berlaku berhampiran Bandar Bilaspur, kira-kira 115 kilometer timur laut Raipur, ibu negeri negeri Chhattisgarh apabila tren penumpang merempuh tren kargo dari arah belakang.

Perlanggaran kuat itu menyebabkan sebuah gerabak penumpang terbalik dan tersangkut di atas gerabak tren kargo, sebelum pasukan penyelamat berjaya menurunkannya ke tanah.

Agarwal berkata, tiga lagi mayat ditemukan selepas pasukan penyelamat memotong bahagian gerabak menggunakan pemotong besi, menjadikan jumlah korban keseluruhan 11 orang termasuk pemandu tren penumpang, manakala pembantunya cedera parah dan kini dirawat di hospital swasta.

Sekurang-kurangnya 20 penumpang lain turut cedera dan menerima rawatan di hospital berhampiran.
Operasi mencari dan menyelamat selesai awal pagi tadi dengan laluan tren melalui lokasi kejadian telah dibuka semula.

Dalam satu kenyataan, Indian Railways memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, selain mengumumkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera.

Kemalangan tren bukan perkara luar biasa di India, dengan lebih 12 juta penumpang menggunakan 14,000 tren pada setiap hari di rangkaian rel sejauh 64,000 kilometer.

Meskipun kerajaan berusaha meningkatkan aspek keselamatan, ratusan nahas berlaku setiap tahun yang kebanyakannya berpunca daripada kesilapan manusia dan kegagalan sistem isyarat.

Pada 2023, kemalangan tren di negeri Odisha mengorbankan sekurang-kurangnya 288 orang, menjadikannya antara tragedi rel paling buruk dalam sejarah India.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button