BERITA SEMASA

12 saksi dipanggil bantu siasatan projek RM1.11 bilion kerajaan–Arm Ltd. – Azam Baki

PUTRAJAYA – Seramai 12 saksi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung projek kerjasama strategik semikonduktor bernilai RM1.11 bilion antara Kerajaan Malaysia dan Arm Ltd. dari United Kingdom (UK) yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri Kabinet.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, antara yang dipanggil termasuk bekas menteri serta pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan beberapa agensi lain yang berkaitan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima SPRM yang kini tertumpu kepada kemungkinan berlakunya unsur salah guna kuasa, penipuan serta kelemahan tadbir urus dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Dokumen-dokumen penting telah diperoleh daripada agensi dan kementerian berkaitan, termasuk kertas pembentangan kepada Kabinet berhubung perkara ini. Saksi-saksi lain juga sedang dipanggil bagi membantu siasatan.

“Yang dipanggil melibatkan bekas menteri dan juga pegawai-pegawai kanan daripada kementerian berkenaan seperti Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian dan lain-lain.

“Namun, saya tidak mahu menyatakan butiran lanjut di sini. Terdapat juga bekas menteri yang telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azam memaklumkan pihaknya sedang mengesan seorang saksi, iaitu James Chai, yang dipercayai bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bagi memintanya kembali ke negara ini untuk membantu siasatan.

“Setakat ini beliau masih belum memberikan sebarang maklum balas. Hari ini satu kenyataan media telah dikeluarkan meminta beliau pulang dari UK bagi membantu siasatan,” tegasnya.

Sementara itu, Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana pihak memanipulasi isu berkenaan, dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan professional.

Terdahulu, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button