BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

13 PATI Indonesia ditipu ejen ditahan Maritim Malaysia

KUALA LINGGI – Helah sindiket penyeludupan membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara ini terbongkar apabila 13 warga Indonesia berjaya ditahan Maritim Malaysia bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi bersepadu di sini, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan rapi di pesisir Kuala Linggi selama hampir empat hari bagi mengesan bot penyeludup namun bot yang dinantikan tidak muncul.

Seramai 13 PATI ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita berusia 25 hingga 50 tahun di Kuala Linggi, malam tadi.

“Berdasarkan maklumat risikan, serbuan dilakukan di kawasan hutan berhampiran Chalet Umang-Umang dengan bantuan pasukan rondaan ATM yang sedang melaksanakan Op Merpati.

“Hasilnya, seramai 13 PATI ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita berusia 25 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati kesemua PATI itu dipercayai datang dari Selangor dan Kuala Lumpur dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang kepada ejen yang kononnya menjanjikan bot keluar dari Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka tertipu selepas bot yang dijanjikan tidak muncul meskipun sudah menunggu beberapa hari di lokasi berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, selepas pemeriksaan bersama PDRM, kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Kuala Sungai Baru sebelum dipindahkan ke Markas Taktikal Operasi ATM untuk tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut prosedur ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button