BERITA SEMASALUAR NEGARA

13 rentung dalam kemalangan berantai di Lebuhraya Yamuna

AGRA – Sekurang-kurangnya 13 orang maut terbakar manakala lebih 100 lagi cedera dalam kemalangan berantai membabitkan kira-kira 20 kenderaan di Lebuhraya Yamuna berhampiran daerah Mathura, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku akibat jarak penglihatan yang terhad akibat kabus tebal.

Media tempatan melaporkan, kemalangan bermula apabila sebuah kereta bertembung dengan sebuah bas sebelum kedua-dua kenderaan itu terhenti di tengah lebuh raya, menyebabkan kenderaan lain merempuh satu sama lain.

Keadaan bertambah buruk apabila satu letupan kuat kedengaran, disusuli kebakaran besar yang memusnahkan beberapa kenderaan.

Saksi kejadian mendakwa tangki gas asli mampat (CNG) pada sebuah bas persendirian meletup, sekali gus mencetuskan bebola api yang marak dan membakar kenderaan terbabit.

“Daripada jumlah korban, hanya tiga mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini kerana kebanyakan mayat ditemui dalam keadaan rentung sehingga sukar dicam,” kata Ketua Daerah C. P. Singh.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital di Vrindavan, Hospital Daerah Mathura serta Kolej Perubatan SN di Agra untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Singh, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian, melibatkan pegawai daerah kecil bandar, ketua polis daerah luar bandar, jurutera jabatan kerja raya, wakil jabatan pengangkutan jalan serta pihak Berkuasa Pembangunan Perindustrian Lebuhraya Yamuna (YEIDA).

“Laporan siasatan dijangka disiapkan dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Seorang penumpang bas persendirian dari Lucknow ke Delhi, Prashant Singh berkata, kebanyakan penumpang sedang tidur ketika kejadian berlaku.

“Saya terjaga selepas terdengar jeritan orang ramai. Apabila turun, saya nampak deretan kenderaan remuk. Tidak lama kemudian berlaku letupan dan kami cuba menyelamatkan mangsa, namun keadaan menjadi terlalu berbahaya,” katanya.

Pesuruhjaya Bahagian Agra, Shailendra Singh, berkata pihak berkuasa akan meneliti punca kejadian serta langkah pencegahan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button