15 pegawai ATM terbabit budaya ‘Yeye’ bakal didakwa di Mahkamah Tentera
ALOR GAJAH – Seramai 15 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti tidak bermoral berkait budaya ‘Yeye’ di dalam kem tentera akan dikenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan di Mahkamah Tentera, selaras dengan peraturan disiplin sedia ada.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang mencemarkan imej dan budaya ketenteraan, sama ada melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut beliau, sekiranya berlaku pelanggaran disiplin, tindakan akan diambil di peringkat dalaman melalui penubuhan jawatankuasa siasatan sebelum kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Tentera untuk pengadilan.
“Kita tahu dalam sistem ketenteraan kita mempunyai Mahkamah Tentera dan mereka yang terbabit akan diberikan pengadilan di situ.
“Di situ, mereka diberi keadilan sama ada tuduhan itu benar atau tidak dan mereka boleh menjawab segala pertuduhan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman yang mengesahkan seramai 15 pegawai dikenal pasti terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ yang tular di media sosial.
Terdahulu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah hadir pada Majlis Makan Malam Yee Sang sempena Hiasan Tahun Baharu Cina 2006 di Kampung Permai Machap Umboo Baru, di sini malam tadi.
Beliau berkata, MINDEF komited membentuk budaya yang jelas dan berintegriti dalam kalangan warga ATM, meskipun mengakui perubahan budaya dalam organisasi ketenteraan memerlukan masa.
Bagaimanapun kata beliau, budaya hedonisme sama sekali tidak boleh diterima sama ada di peringkat kementerian mahupun dalam domain ketenteraan selaras dengan peringatan menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika perutusan tahun baharu kementerian itu baru-baru ini.
“Apa yang berlaku, sama ada ia terpencil atau tidak, jika ia bukan budaya kita (ATM), tindakan akan diambil mengikut proses dan peraturan sedia ada termasuk melalui Mahkamah Tentera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












