BERITA SEMASADALAM NEGERI

26 RUU diluluskan, 2 ditangguh untuk penelitian

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke 15 yang menutup tirai semalam menyaksikan sebanyak 26 rang undang-undang (RUU) diluluskan.

Sementara itu, dua RUU ditangguhkan iaitu RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 untuk penelitian semua pihak.

Antara yang diluluskan adalah RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, RUU Perkongsian Data 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 dan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024, RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Selain itu, dua RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama, iaitu RUU Majlis Media Malaysia 2024 bagi menubuhkan badan kawal selia kendiri serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 yang antara lain untuk menjadikan industri media lebih inklusif.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang membentangkan kedua-dua RUU itu memaklumkan bacaan kedua akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Sidang kali ini juga menyaksikan Parlimen Malaysia membuka lembaran baharu dalam reformasi institusi apabila buat julung kalinya Pengerusi JKPK diberi peluang untuk membuat penerangan bagi penyata jawatankuasa masing-masing di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sesi penerangan penyata itu bertujuan memberi pendedahan serta liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button