33 projek diluluskan di Tapah, RM6.13 juta diperuntuk – Kor Ming
TAPAH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak 33 projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan Tapah dengan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM6.13 juta bagi tahun 2025.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek-projek berkenaan meliputi kerja menaik taraf tandas awam, medan selera, pemasangan lampu LED serta baik pulih pelbagai kemudahan awam di bawah inisiatif Program Sentuhan Kasih 3.0.
“Sejak 2022, KPKT telah turun padang lebih 30 kali ke seluruh negara dan hari ini di Tapah, kita lawati enam lokasi utama antaranya Pasar Awam Tapah Road, Taman Malaysia Tapah dan Dewan Muhibbah Bidor.
“Daripada jumlah peruntukan itu, RM3.05 juta diperuntukkan kepada 16 projek infrastruktur awam di bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan,” katanya dalam sidang media di Pasar Awam Tapah Road, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee; Ahli Parlimen Kampar, Chong Zemin; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching dan Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choy Tsi Jen.
Antara pecahan lain ialah RM1.87 juta bagi 10 projek kemajuan Kampung Baru Cina, RM798,000 untuk projek landskap dan kajian pelan induk, RM377,000 untuk penyelenggaraan perumahan rakyat (PPR) serta RM40,000 untuk dua projek baik pulih rumah di Parlimen Tapah.
“Projek naik taraf Dewan Muhibbah Bidor melibatkan RM849,970 termasuk pembinaan laluan berbumbung, pemasangan skrin LED dan penambahbaikan bangunan supaya penduduk dapat menggunakannya dengan lebih selesa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata projek naik taraf landskap Taman Malaysia Tapah yang menelan kos RM499,900 adalah sebahagian daripada inisiatif membina 1,000 Taman Rekreasi Madani menjelang tahun 2032.
“Setiap projek itu diluluskan berdasarkan belanjawan berasaskan prestasi (performance-based budgeting) bagi menjamin pulangan pelaburan (ROI) yang tinggi, bebas daripada pembaziran dan ketirisan,” katanya lagi.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak mengenal sempadan politik atau negeri.
“Kami mahu pembangunan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












