54 jenazah tahanan ‘tidak dikenali’ dikebumi di Palestin
GAZA – Upacara pengebumian besar-besaran diadakan di Gaza Tengah semalam terhadap 54 tahanan Palestin yang mayat mereka dipulangkan oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang masih berlangsung.
Majlis penuh hiba itu diadakan di bandar Deir al-Balah dan dihadiri ratusan penduduk yang berkabung, selepas pihak berkuasa Palestin mendakwa terdapat bukti kukuh menunjukkan tanda-tanda penyeksaan serta pelaksanaan hukuman mati terhadap mangsa-mangsa berkenaan.
Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Al-Thawabta, dalam sidang akhbar memaklumkan bahawa pasukan perubatan menemui pelbagai kesan penderaan pada tubuh mangsa, termasuk kesan tali di leher, luka tembakan jarak dekat, kesan terbakar, tulang patah serta tanda dilanggar kenderaan.
“Tanda-tanda ini membuktikan berlakunya pelaksanaan hukuman mati di lapangan. Kami menuntut siasatan antarabangsa dan tindakan undang-undang menerusi institusi seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” katanya memetik laporan media antarabangsa.
Keadaan jenazah yang parah menyukarkan proses pengecaman oleh keluarga mangsa yang masih mencari ahli keluarga yang hilang.
Seorang wanita Palestin, Huda Hammad berkata, ramai waris terpaksa bergantung kepada cebisan pakaian untuk mengenal pasti mangsa kerana wajah kebanyakan jenazah tidak lagi dapat dikenali.
Proses ujian DNA pula tidak dapat dijalankan secara meluas disebabkan kemudahan makmal yang rosak dan kekangan bekalan di Gaza.
Pemulangan mayat tahanan itu adalah sebahagian daripada pertukaran di bawah perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sebanyak 165 mayat diserahkan melalui Jawatankuasa Palang Merah sejak 14 Oktober sebagai sebahagian daripada perjanjian itu yang turut melibatkan pembebasan tebusan serta pelan awal pembinaan semula Gaza.
Usaha pemulihan mayat berkenaan berlaku di tengah-tengah krisis kemanusiaan berpanjangan dengan pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan lebih 68,200 kematian sejak konflik memuncak pada Oktober 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












