RM640 juta berjaya dikutip polis hasil diskaun saman sejak 2022 – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM640 juta berjaya dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil daripada bayaran saman trafik melalui pelbagai program diskaun yang dilaksanakan sejak 2022, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution berkata, jumlah berkenaan melibatkan bayaran bagi lebih 2.7 juta saman yang telah diselesaikan antara tahun 2022 hingga sembilan bulan pertama tahun ini menerusi pelbagai tawaran diskaun antara 30 hingga 60 peratus.
“Pada 2022, program pengurangan saman sebanyak 50 peratus menarik 327,369 pembayar saman, manakala pada 2024, sebanyak 678,000 saman berjaya diselesaikan dengan kutipan berjumlah RM119 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, PDRM menawarkan diskaun 30 hingga 50 peratus dan berjaya mendapatkan penyelesaian 1.73 juta saman dengan kutipan RM249 juta.
“Secara keseluruhannya, jumlah kutipan bagi 2022 hingga 2025 adalah RM640 juta, bagaimanapun masih ada lebih kurang RM6.6 bilion tunggakan saman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung penyelarasan kadar kompaun antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM, di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Loke mengumumkan kadar dan kaedah kompaun saman trafik dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) PDRM akan diselaras bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang jalan raya lebih seragam mulai 1 Januari depan.
Loke berkata, prinsip baharu pembayaran saman akan turut diperkenalkan, iaitu lebih awal menjelaskan bayaran saman, lebih rendah kadar kompaun selepas diberikan diskaun.
Baca juga : Saman polis, JPJ diselaras, bayar awal dapat diskaun 50 peratus
Mengulas mengenai penyelarasan kadar kompaun itu, Saifuddin menjelaskan, walaupun program diskaun itu berjaya menggalakkan penyelesaian saman tertunggak, pendekatan berkenaan turut menggalakkan sikap bertangguh atau hanya menunggu tawaran kompaun.
“Apabila diskaun ditawarkan dari semasa ke semasa, ramai yang memilih untuk menunggu tawaran baharu sebelum menjelaskan saman.
Ini tidak adil kepada mereka yang bertanggungjawab dan bayar awal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












