BERITA SEMASADALAM NEGERI

687 kuil Hindu dibina tanpa kebenaran di Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas kerajaan yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Februari lalu dan ditegaskan semula ketika menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kelmarin.

Beliau berkata, ketegasan kerajaan selari dengan prinsip dan pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta tadbir urus yang baik.

Menurut beliau, prinsip itu perlu dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah ibadat, khususnya kuil-kuil Hindu, agar dilaksanakan secara teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang.

“Sultan Selangor telah disembah maklum oleh Kerajaan Negeri Selangor mengenai statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di negeri ini sehingga 31 Januari 2026 iaitu sebanyak 687 buah kuil.

“Daripada jumlah itu, 388 buah kuil dibina di atas tanah milik kerajaan manakala 299 buah lagi dibina di atas tanah milik persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jumlah kuil tanpa kebenaran tersebut adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus dan angka itu tidak termasuk kuil-kuil yang telah didirikan secara sah dengan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam di negeri ini sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian di Selangor.

Menurutnya, Sultan Selangor sentiasa menegaskan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan dan kelulusan sah daripada pihak kerajaan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain mematuhi segala perundangan dan garis panduan yang ditetapkan.

“Sebarang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah yang melibatkan pencerobohan tanah kerajaan atau persendirian berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama dan seterusnya menimbulkan ancaman serta risiko keselamatan kepada negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan PBT turut diingatkan supaya meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, aspek pemantauan perlu sentiasa diperkukuh bagi membanteras serta mengawal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah kerajaan dan persendirian.

“Sultan Selangor menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia telah menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama serta menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button