BERITA SEMASA

9 juta rakyat Malaysia terima manfaat STR, SARA

LUNDU – Seramai sembilan juta penerima di seluruh negara kini menikmati manfaat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup golongan sasar itu menerima peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi pelaksanaan pada tahun ini, meningkat berbanding RM10 bilion pada 2024.

Menurutnya, bagi Sarawak sahaja, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk hampir 900,000 penerima STR dan SARA di negeri itu.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan menyediakan 20 lokasi di Sarawak dan 17 lokasi di Sabah bagi memudahkan penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank menuntut bantuan secara tunai.

Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada golongan sasar, termasuk penduduk luar bandar dan warga emas yang menghadapi kesukaran mengakses perkhidmatan perbankan.

“Setakat ini, program berkenaan sudah dilaksanakan di 15 lokasi di Sarawak dan lima lagi lokasi akan dilaksanakan minggu depan.

“Penerima STR tanpa akaun bank juga boleh membuat tuntutan bantuan secara tunai di semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas Program Penunaian STR dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak Mini (Mini-MCS) di Dewan Mahligai Gading, di sini hari ini.

Selain STR, penerima yang layak turut menerima SARA iaitu bantuan bulanan untuk membeli barangan keperluan harian di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA.

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah memaklumkan Sarawak mencatat prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan SARA apabila 99 peratus penerima menggunakan MyKad untuk membuat pembelian di premis berdaftar.

“Ini membuktikan mekanisme SARA berasaskan MyKad adalah mudah, selamat dan berkesan, terutama di kawasan luar bandar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button