Siasat dakwaan terhadap Azam Baki, bukannya siasat Bloomberg – Nurul Izzah
CYBERJAYA – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menggesa pihak polis menumpukan siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan bukannya proses penerbitan laporan oleh Bloomberg.
Beliau menegaskan, siasatan polis perlu memberi perhatian kepada kepada inti pati dakwaan yang dibangkitkan agensi berita itu, selaras prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“You don’t want to shoot the messenger. Kita mahu SPRM dan semua agensi dalam negara benar-benar menjadi benteng pertahanan kita semua.
“Saya juga minta supaya siasatan oleh PDRM seperti diumum fokus kepada dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg, bukan siasat penerbitan laporan tersebut. Maksudnya mudah,” kata Nurul Izzah dalam satu video yang dimuat naik di TikTok.
Jelas beliau, siasatan harus ditumpukan kepada dakwaan yang dibangkitkan dan bukannya bagaimana laporan itu diterbitka.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel oleh Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Dalam laporan media bertarikh 14 Februari itu, M. Kumar dipetik sebagai berkata, siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain siasatan polis, pada masa sama, Kabinet sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan membabitkan Azam sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Jawatankuasa siasatan itu dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











