BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Denda hingga RM10 juta jika platform media sosial langgar ONSA – Fahmi

KUALA LUMPUR – Usaha memerangi penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan di platform media sosial terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (ONSA) yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini pendekatan regulatory sandbox atau medan ujian regulatori sedang dilaksanakan bagi meneliti mekanisme kawal selia terhadap platform media sosial.

Jelas Fahmi, ujian berkenaan termasuk penetapan had umur, bagi memastikan pengendali platform memahami sepenuhnya peruntukan akta berkenaan.

Menurut beliau, ONSA terpakai kepada semua platform berkaitan dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya mereka terus membenarkan kandungan berunsur penipuan seperti deepfake kecerdasan buatan (AI), penipuan pelaburan serta judi dalam talian.

“Denda yang besar boleh dikenakan, iaitu antara RM1 juta hingga RM10 juta. Kita beri mereka sedikit masa untuk memastikan mereka faham segala tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan akta tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan ekosistem digital yang lebih selamat, malah penting bagi mengekang aktiviti jenayah siber termasuk penipuan serta penyebaran kandungan yang boleh memudaratkan perkembangan mental kanak-kanak.

Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis sindiket penipuan yang menawarkan pulangan lumayan dengan modal kecil.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang tawaran pelaburan yang dipromosikan di platform media sosial,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button