BERITA SEMASA

JPN Kedah tolak dakwaan unsur buli, jenayah insiden pelajar jatuh bangunan sekolah

SUNGAI PETANI – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menolak dakwaan wujud unsur buli atau jenayah dalam kejadian seorang pelajar Tingkatan Lima terjatuh dari bangunan sebuah sekolah, di sini semalam.

JPN Kedah dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Jaya semalam, pelajar berkenaan ditemui seorang pekerja pembersihan dalam keadaan terbaring di kawasan bawah Bangunan Blok A selepas tamat perhimpunan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur buli atau jenayah dikesan setakat ini kerana tiada individu lain berada di kawasan atas blok berkenaan pada waktu kejadian, memandangkan semua warga sekolah berada di tapak perhimpunan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

JPN Kedah berkata, pelajar itu mengalami kecederaan termasuk patah tangan serta terdapat kesan darah di bahagian mulut.

Katanya, bantuan segera diberikan dan murid dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Pihak sekolah turut memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa murid dengan segera.

“Semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati murid terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal turut mendapati terdapat dua kerusi di koridor tingkat tiga bersama beg milik murid yang diletakkan berhampiran dan disyaki digunakan untuk memanjat sebelum terjatuh.

“JPN Kedah memandang serius insiden berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan profesional.

“Pihak jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur buli atau jenayah di sekolah sekiranya didapati berlaku,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) parah selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah di daerah ini pada jam 12.15 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata pondok polis di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima makluman daripada Jabatan Kecemasan hospital berhubung kemasukan mangsa dalam keadaan cedera parah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button