BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPM siasat pematuhan SOP kes dua pelajar IPG lemas

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang ditemukan lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, siasatan turut melibatkan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya dalam penganjuran program luar bilik darjah.

“Pada masa sama, KPM akan memastikan bantuan dan kebajikan terbaik disalurkan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar terbabit dan berharap mereka diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kayak dinaiki mangsa terbalik akibat ombak dan arus kuat.

Menurutnya, kedua-dua mangsa, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan tersangkut pada jaring nelayan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Walaupun mangsa memakai jaket keselamatan, faktor keadaan laut yang bergelora dipercayai menjadi punca kejadian,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan akan dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua mangsa dilaporkan menyertai Program Pendidikan Luar Kampus sebelum insiden tragis itu berlaku kira-kira jam 5 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button