Polis buru individu bakar suar atas pikap di Bukit Bintang
KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai melakukan aksi berbahaya dengan membakar suar di atas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Assistan Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dikesan menerusi video tular di media sosial yang memaparkan beberapa individu menaiki sebuah Toyota Hilux serta dua motosikal jenis scrambler dipercayai motosikal elektrik.
Menurut beliau, tindakan kumpulan terbabit bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam malah boleh mengancam keselamatan pengunjung, peniaga dan pelancong di kawasan tumpuan berkenaan.
“Dianggarkan tujuh hingga lapan individu terlibat dalam kejadian itu. Polis kini sedang mengesan pemilik semua kenderaan terbabit bagi membantu siasatan.
“Perbuatan sedemikian amat tidak wajar kerana ia membahayakan keselamatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian sedang dijalankan, namun siasatan berdepan kesukaran kerana semua kenderaan yang digunakan tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Dalam video tular berkenaan, kumpulan terbabit turut dilihat mempamerkan kain rentang tertera angka “6.6”, dipercayai mempunyai kaitan tertentu yang masih dalam siasatan polis.
“Kita masih mengumpul maklumat berhubung maksud kain rentang itu.
“Pada masa sama, polis turut mengesan sebuah kedai pakaian di Dengkil yang disyaki mempunyai kaitan dengan video berkenaan dan pihak terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Tambah beliau, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan awam terutama di kawasan pelancongan utama seperti Bukit Bintang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











