BERITA SEMASALUAR NEGARA

Gencatan senjata di Gaza bermula hari ini – Qatar

DOHA/GAZA – Israel dan kumpulan pejuang, Hamas akan memulakan gencatan senjata selama empat hari pada pagi Jumaat dengan kumpulan pertama 13 tebusan wanita dan kanak-kanak Israel dibebaskan lewat hari itu, menurut pengantara di Qatar.

Kedua-dua pihak juga memberi isyarat bahawa gencatan tersebut bersifat sementara sebelum pertempuran disambung semula.

Memetik laporan Reuters, gencatan senjata itu akan bermula pada 7 pagi waktu Gaza (0500 GMT) dan melibatkan gencatan senjata menyeluruh di utara dan selatan Gaza, kata kementerian luar Qatar.

Bantuan tambahan akan mula disalurkan ke Gaza dan tebusan pertama termasuk wanita warga emas akan dibebaskan pada jam 4 petang, dengan jumlah keseluruhan meningkat kepada 50 dalam tempoh empat hari, kata jurucakap kementerian Majed Al-Ansari di ibu negara Qatar, Doha.

Selain itu, rakyat Palestin juga dijangka dibebaskan dari penjara Israel, katanya kepada pemberita.

“Kita semua berharap bahawa gencatan senjata ini akan membawa kepada peluang untuk memulakan kerja yang lebih luas untuk mencapai gencatan senjata kekal,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, yang bercuti di pulau Nantucket Massachusetts untuk cuti Kesyukuran, berkata beliau berjanji bahawa seorang gadis Amerika berusia 3 tahun akan menjadi antara yang dibebaskan dahulu.

Dalam pada itu, seorang pegawai Jabatan Negara AS menggelar gencatan senjata itu sebagai “saat penuh harapan” tetapi berkata kerja akan diteruskan untuk membebaskan semua tebusan.

Hamas yang dijangka mengisytiharkan gencatan senjata dengan Israel sehari lebih awal pada hari Khamis hanya untuk rundingan, mengesahkan di saluran Telegramnya bahawa semua permusuhan daripada tenteranya akan dihentikan.

Dalam pada itu, jurucakap Hamas, Abu Ubaida, dalam video bertajuk “peningkatan konfrontasi dengan (Israel) di semua kawasan penentangan” menggesa pejuang-pejuang termasuk di Tebing Barat yang diduduki Israel untuk menentang
keganasan yang tercetus meningkat sejak perang Gaza.

Tentera Israel berkata, tenteranya akan kekal di belakang garis gencatan senjata di dalam Gaza, tanpa memberikan butiran kedudukannya.

“Ini akan menjadi hari yang rumit dan tiada yang pasti… Walaupun dalam proses ini mungkin terdapat perubahan,” kata jurucakap tentera Israel Daniel Hagari.

“Kawalan ke atas Gaza utara adalah langkah pertama perang yang panjang, dan kami sedang bersiap untuk peringkat seterusnya,” tambahnya.

Israel juga telah menerima senarai awal tebusan untuk dibebaskan serta telah berhubung dengan keluarga, kata Pejabat Perdana Menteri Israel.

Israel melancarkan serangan dahsyatnya ke atas Gaza selepas Hamas menceroboh pagar sempadan pada 7 Oktober, dan menculik kira-kira 240 tebusan, menurut Israel.

Sejak itu, kira-kira 13,000 penduduk Gaza telah terbunuh oleh pengeboman Israel, kira-kira 40 peratus daripada mereka kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

“Orang ramai keletihan dan kehilangan harapan terhadap kemanusiaan,” kata Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini selepas lawatan ke Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button