BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

IKMa lancar e-Code Ar-Rahnu, perkasa pengurusan koperasi dalam talian

BANGI – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) secara rasminya telah melancarkan e-Code Ar-Rahnu bagi memperkasakan koperasi dalam pengurusan perniagaan Ar-Rahnu secara dalam talian.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif besar, Program Cooperative Digital Empowerment (CODE), yang telah dimulakan oleh IKMa sejak tahun 2020.

Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Tuan Onn Abu Bakar berkata, menerusi e-Code Ar-Rahnu, ia akan mempercepatkan digitalisasi dalam pengurusan Ar- Rahnu.

Beliau juga memuji koperasi yang telah berjaya menjana pendapatan tambahan melalui produk hiliran Ar-Rahnu seperti perkhidmatan kedai emas, emas digital, simpanan emas, dan jual beli emas terpakai.

“Program e-Code Ar-Rahnu ini dijangka dapat mengoptimumkan pengurusan kewangan dan risiko bagi koperasi, di samping meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui penggunaan teknologi digital terkini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Tuan Onn turut menyempurnakan Pelancaran e-Code Ar-Rahnu dalam majlis penutup Program Seminar Perniagaan Ar-Rahnu di Hotel Tenera, Bangi.

Setakat ini, 40 koperasi telah menerima manfaat terdiri daripada program ini yang terdiri daripada empat bidang utama iaitu Code e-COMART (Sistem Point of Sales (POS) dan sokongan berkaitan), Code e-COOM (pengurusan keanggotaan secara bersepadu).

Dua lagi bidang lain, Code e-COTOURISM (Sistem Pengurusan Aset dan platform tempahan homestay, chalet, dan bilik), dan Code e-CORAHNU (automasi perniagaan Ar-Rahnu dalam talian).

Sehingga 31 Disember 2023, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mencatatkan sebanyak 389 premis Ar-Rahnu melibatkan 102 buah koperasi telah beroperasi dan menyasarkan kepada 500 premis baharu bagi merancakkan perniagaan Ar-Rahnu.

Mengulas lanjut, Tuan Onn berkata, IKMa menyasarkan 150 koperasi yang akan dibimbing di bawah Program Bimbingan Koperasi Bersasar.

“Inisiatif-inisiatif yang dibangunkan oleh IKMa ini bukan sahaja memberi manfaat kepada koperasi dari segi penambahbaikan operasi, tetapi juga memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button