BERITA SEMASA

GRS dijangka tanding 52 kerusi dalam PRN Sabah – Masiung

TONGOD – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka bertanding sekurang-kurangnya 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah.

Menurut beliau, jangkaan itu dibuat berdasarkan sentimen rakyat Sabah yang kini dilihat semakin memihak kepada parti-parti tempatan menjelang PRN ke-17.

“Dengan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap parti tempatan, saya percaya GRS berpotensi untuk bertanding di 52 kerusi, tertakluk kepada persetujuan Pengerusi GRS terhadap cadangan tersebut,” katanya ketika berucap pada siri Jelajah GRS di Kampung Mananam, di sini, semalam.

Tambahnya, baki 21 kerusi pula berkemungkinan akan diberikan kepada parti-parti nasional yang sedia menjalinkan kerjasama politik dengan GRS.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut menyentuh mengenai kerjasama strategik antara GRS dan Pakatan Harapan (PH), yang menurutnya kini berada dalam keadaan baik khususnya dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri.

“Jika kerjasama ini dapat diteruskan menjelang PRN17, saya yakin gabungan GRS dan PH berupaya sekali lagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan kukuh,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Masiung turut menyuarakan keyakinan bahawa calon-calon dari parti tempatan yang bernaung di bawah GRS akan menjadi pilihan utama rakyat sekaligus mampu menewaskan pembangkang yang menurutnya telah ditolak semasa era pemerintahan terdahulu.

Mengulas lanjut, beliau berkata GRS akan lebih berhati-hati dalam memilih rakan kerjasama pada masa akan datang susulan insiden cubaan menjatuhkan kerajaan negeri yang berlaku pada Januari 2023.

“Pengalaman lalu mengajar kita supaya lebih berwaspada dan memastikan rakan sekutu benar-benar komited dalam menjaga kestabilan politik negeri,” katanya.

PRN Sabah dijangka menjadi medan penting dalam menentukan hala tuju politik negeri itu dengan sentimen rakyat tempatan dilihat memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan yang baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button