POLITIK

Penambahan kerusi tanpa semakan sempadan bakal burukkan isu persempadanan – Mordi

KUCHING – Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol menegaskan bahawa penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tanpa pembetulan sempadan kawasan sedia ada hanya akan memburukkan lagi isu persempadanan tidak seimbang (malapportionment) dan manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering).

Menurutnya, Rang Undang-Undang DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang diluluskan pada Isnin lalu perlu disemak semula bagi memastikan prinsip keadilan dan perwakilan seimbang dapat ditegakkan terlebih dahulu sebelum sebarang penambahan dilakukan.

“Penambahan kerusi tanpa semakan sempadan hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakseimbangan perwakilan.

“Ia bukan sahaja membebankan pentadbiran, malah akan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi di negeri ini.

“Sempadan yang sedia ada sudah pincang dan banyak kawasan Parlimen serta DUN merentasi daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Mordi turut memberi contoh kawasan Parlimen Santubong yang merangkumi dua daerah iaitu Kuching dan Lundu serta melibatkan PBT yang berbeza, menyebabkan banyak masalah dalam urusan pembangunan dan pentadbiran setempat.

Beliau turut menegaskan bahawa proses persempadanan semula perlu dijadikan keutamaan, selari dengan prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” bagi menjamin keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira lokasi dan latar belakang etnik.

Katanya lagi, langkah menambah kerusi secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang menyeluruh akan membuka ruang kepada manipulasi politik dan ketidakseimbangan perwakilan yang lebih serius.

“Saya menyeru agar kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melibatkan rakyat, pertubuhan masyarakat sivil serta pakar bebas dalam proses semakan semula sempadan bagi memastikan ia telus dan berintegriti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button