‘Sudah lebih 100 kali aduan, tapi masih tiada penyudah’ – Ketua Kampung Dengkil
DENGKIL – Walaupun sudah lebih 100 kali aduan dibuat mengenai kewujudan tapak pembuangan sampah haram yang berleluasa di daerah ini, tindakan susulan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum menampakkan hasil.

Itu dakwaan Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani kepada Malaysia Tribune yang kecewa melihat kesungguhan PBT dalam menangani masalah yang telah bermula sejak lebih 10 sedekad lalu itu.
Lebih menyedihkan katanya, keluasan kawasan pembuangan sampah itu semakin bertambah dari hari ke hari dan menjadi semakin serius dengan masalah pencemaran dan lori yang memasuki kawasan kampung.

“Ada yang kata ia bermula sekitar tahun 2020, tapi maklumat lain menyebut tapak sampah ini telah wujud sejak 2015 lagi.
“Dan maklumat yang mengatakan keluasan seluas 20 padang bola itu hanya baru satu lokasi belum masuk tempat-tempat lain di sekitar Dengkil ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune hari ini.
Menurutnya, meskipun laporan demi laporan dibuat oleh penduduk dari beberapa kawasan perumahan dan kampung, tindakan penguatkuasaan oleh PBT dilihat tidak konsisten dan masih gagal menyekat aktiviti terbabit.
“Bukan tak ada yang buat aduan. Ada penduduk dari Taman Jed, Taman Emas, Taman Akit, Batu Satu dan Kampung Orang Asli.
“Kita tak kata pihak berkuasa tak buat kerja, tapi tindakan itu tidak memberi kesan yang baik kepada penduduk.
“Kita mahukan penyelesaian isu ini bukan sekadar tinjauan tapak,” jelasnya.
Bahkan katanya, ramai antara penduduk sudah mula hilang kepercayaan dan kebergantungan kepada pihak berkuasa dan mula mengumpul bukti sendiri.
Al Rasyid berkata, beliau sendiri sudah beberapa kali menyuarakan perkara itu kepada agensi-agensi terlibat termasuk Pejabat Tanah, Jabatan Alam Sekitar dan pihak Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang).
Katanya, selain lambakan sampah yang mengganggu pandangan mata, apa yang lebih membimbangkan ketika ini adalah pencemaran udara, biodiversiti dan juga risiko kebakaran hutan yang mungkin berpunca daripada sisa sampah domestik dan komersial di kawasan itu.
“Ada yang guna jentera berat macam excavator dan traktor untuk alihkan sampah ke tepi jalan sebelum dibakar.
“Bau busuk dan asap tebal ini bukan hanya ganggu keselesaan, ia juga bahaya pada kesihatan.
“Itu belum kira kesan kepada tanah dan saliran air dan sebagainya,” kata Al Rasyid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











