Sepasang suami isteri rentung dalam kebakaran rumah di Kota Belud
KOTA BELUD – Sepasang suami isteri ditemukan rentung dalam bilik mandi rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sangkir, awal pagi tadi.
Mangsa, masing-masing berusia 47 tahun dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 3 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.52 pagi.
“Sepasukan 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis kekal satu tingkat terbakar 100 peratus, manakala sebuah kereta jenis sedan yang berada berhampiran turut terbakar.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.22 pagi dengan menggunakan satu aliran dan dua pancutan air dari jentera,” tambah beliau.
Ketika pemeriksaan dijalankan, dua mayat rentung ditemukan di dalam bilik mandi rumah tersebut.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.55 pagi selepas memastikan kawasan selamat dan tiada lagi risiko kebakaran,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kedua-dua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.
“Lelaki terbabit bekerja sebagai penoreh getah. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












