Polis jamin keselamatan awam sempena perhimpunan aman di Dataran Merdeka esok
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan awam akan terus menjadi keutamaan menjelang perhimpunan aman yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, esok.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sebagai badan penguatkuasa yang menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan, pihak polis menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun secara aman serta tertib selaras dengan amalan demokrasi negara.
“PDRM komited memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat, dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.
“Segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : Penjawat awam diingatkan tidak sertai Perhimpunan Turun Anwar – KSN
Beliau dalam masa sama turut menasihatkan para peserta agar sentiasa mematuhi undang-undang serta memainkan peranan dalam mengekalkan ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar.
“Adalah menjadi harapan kami agar setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Mohd Khalid turut menyarankan orang ramai yang tidak terlibat secara langsung supaya merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa bagi mengelakkan kesulitan, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan sepanjang perhimpunan berlangsung.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan komitmen berterusan PDRM untuk memastikan keselamatan awam tidak terjejas tanpa menafikan hak kebebasan bersuara rakyat.
“Kami percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama erat serta rasa tanggungjawab bersama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










