Kembara JOM 2.0 belia luar bandar jadi tumpuan
KOTA MARUDU – Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Borneo 1 yang berakhir hari ini membuktikan inisiatif itu bukan sekadar aktiviti ‘ronda-ronda’, sebaliknya medan memperkukuh jaringan belia luar bandar rentas komuniti.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, penganjuran siri kedua daripada enam zon itu memberi penekanan khusus kepada penyertaan belia massa serta belia berpersatuan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pendekatan program keluarga angkat, aktiviti kesukarelawanan, keusahawanan sosial dan advokasi Nilai Teras Malaysia MADANI berjaya menyatukan belia daripada pelbagai kaum dan budaya. Inilah roh sebenar Kembara JOM mendengar suara anak muda sambil membina semangat kekitaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seramai 863 belia hadir sesi Townhall santai bersama Adam Adli, selain terlibat dalam gotong-royong menceriakan fasiliti awam, pameran agensi kerajaan, sukan perpaduan MADANI serta pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma.
Program itu turut melibatkan 20 keluarga angkat dengan penyertaan 61 belia dari Sabah dan Labuan.
Kembara JOM Zon Borneo 1 dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan Sabah, IYRES, IMPACT Malaysia dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Menurut Adam Adli, dapatan daripada program ini akan menjadi input penting bagi merangka dasar pembangunan belia negara yang lebih berpaksikan realiti akar umbi.
“KBS komited memastikan Kembara JOM terus merakyatkan dasar belia. Ia platform untuk mendengar pandangan, mencungkil bakat kepimpinan dan memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan komuniti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












