BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Guru rugi hampir RM200,000 ditipu sindiket penyamaran

KUANTAN – Seorang guru wanita berusia 38 tahun berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM199,994 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penyamaran yang mendakwa sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian bermula pada Jun lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa nombor telefonnya terbabit dalam kes penyebaran maklumat palsu dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, mangsa diperdaya untuk membuat pinjaman bank kononnya bagi tujuan siasatan kewangan.

Pada 25 Jun, mangsa membuat pinjaman peribadi RM265,000 daripada sebuah bank di sini sebelum diminta menyerahkan butiran akaun bank kepada suspek.

“Hasil semakan kemudian mendapati sejumlah 21 transaksi dilakukan tanpa pengetahuan mangsa, melibatkan pindahan wang berjumlah keseluruhan RM199,994 ke akaun pihak ketiga antara 2 dan 3 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebaik menyedari ditipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button