‘Sejak bila mabuk jadi adat resam?’ – Lando bidas Guan Eng isu larangan alkohol di sekolah
KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Azlan Sani Zawawi (Lando) menegur kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung larangan penggunaan alkohol di sekolah.
Lando berkata, kenyataan Guan Eng yang menyifatkan langkah tersebut sebagai pencerobohan terhadap adat resam komuniti tertentu adalah tidak wajar dan menyimpang daripada maksud sebenar budaya bangsa.
“Sejak bila mabuk dan judi jadi adat resam mana-mana bangsa? Adakah mana-mana bangsa sanggup digelar bangsa pemabuk dan penjudi kerana adat resamnya?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Lando turut berkongsi pengalamannya ketika mewakili Malaysia dalam program AFS Interculture di Australia, yang menghimpunkan pelajar berbilang bangsa dari seluruh dunia bagi bertukar pandangan mengenai keunikan budaya masing-masing.
“Dalam program itu, tidak ada satu pun bangsa yang mengangkat tabiat mabuk dan berjudi sebagai simbol adat atau budaya mereka,” katanya lagi.
Tegasnya, tidak wajar mana-mana pihak menggunakan alasan adat resam untuk mempertahankan sesuatu amalan yang boleh merosakkan moral dan nilai masyarakat.
Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan menyelar kenyataan Anwar yang menyokong larangan alkohol di sekolah sebagai “menjolok sarang tebuan” dengan mendakwa tindakan itu sebagai campur tangan terhadap adat komuniti tertentu.
Namun, pandangan itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak yang menilai kenyataan tersebut sebagai tidak sensitif dan cuba mencetuskan sentimen perkauman.
Isu berkenaan terus menjadi tumpuan di media sosial apabila ramai pengguna menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan mengekang pengaruh alkohol dalam kalangan pelajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












