Kempen Internet Selamat lepasi sasaran, rekod penyertaan hampir 370,000 pelajar
PUTRAJAYA – Kempen Internet Selamat (KIS) berjaya melepasi sasaran awal apabila merekodkan penyertaan sebanyak 8,462 sekolah melibatkan hampir 370,000 pelajar, setakat 30 November lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencapaian tersebut melepasi sasaran awal tahun ini iaitu 8,000 sekolah, sekali gus menjadi pemangkin untuk terus memperhebatkan pada tahun hadapan dengan tumpuan di peringkat komuniti di seluruh negara.
“Kempen Internet Selamat akan diperluas tahun hadapan dan dalam fasa atau kita panggil KIS 2.0 untuk melibatkan lebih banyak pihak dalam komuniti seperti rukun tetangga, persatuan penduduk, ahli-ahli jawatankuasa, rumah ibadat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sebagainya.
“Hal ini kerana kita melihat tidak mencukupi kalau kita hanya pergi ke sekolah-sekolah, kita perlu usaha bagi menjamin keselamatan dalam talian ini diperluas mencakupi seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Mega Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, KIS 2.0 akan dilancarkan dengan penganjuran pertama acara berskala besar pada Februari tahun hadapan, manakala KIS 2.0 peringkat komuniti akan dilaksanakan berdasarkan statistik kes kesalahan internet oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pelancaran akan dilaksanakan sekitar 11 Februari 2026 bersempena Hari Internet Selamat Sedunia. Tarikh tersebut pada 11 haribulan, tapi kita mungkin akan merencanakan satu acara sekitar tarikh tersebut,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












