BERITA SEMASA

MARA minta peminjam disenarai hitam hingga jejas anak dapat tajaan tampil berunding

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka ruang rundingan sebagai jalan penyelesaian kepada peminjam yang disenarai hitam akibat kegagalan melunaskan pinjaman.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rundingan itu penting lebih-lebih lagi apabila situasi itu menjejaskan peluang anak-anak mereka memperoleh tajaan pendidikan daripada MARA.

Beliau berkata, agensi itu bersedia mempertimbangkan peluang kedua kepada peminjam terlibat dengan syarat mereka tampil berunding dan tidak terus mengelak daripada bertanggungjawab.

“Mereka yang disenarai hitam kerana culas membayar pinjaman MARA hingga menjejaskan peluang anak mendapat tajaan, boleh datang ke pejabat MARA. Yang penting datang berunding, bukannya menghilang,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Asyraf mendedahkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) MARA kini berada pada tahap membimbangkan apabila mencecah 49.6 peratus dengan nilai keseluruhan RM893 juta.

Keadaan itu menyebabkan MARA terpaksa mempertimbangkan langkah lebih tegas, termasuk tindakan perundangan terhadap peminjam yang terus gagal melunaskan tanggungjawab kewangan mereka.

Pada Oktober lalu, media melaporkan seramai 97,866 peminjam pinjaman pelajaran MARA telah disenarai hitam daripada keseluruhan 197,348 peminjam aktif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button