Suami maut, isteri parah dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi
JERANTUT – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13, Jalan Jerantut–Temerloh berhampiran Kampung Tebing Tinggi, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd. Azahari Muhktar berkata, kejadian pada pukul 6.25 petang itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah Jerantut menuju ke Temerloh.
Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal, Noor Aizat Abu Bakar, 44, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Jerantut.
Mohd. Azahari berkata, mangsa lelaki merupakan kakitangan Hospital Jerantut dan pasangan berkenaan berasal dari Taman Gemilang Emas, di sini, sementara pemandu SUV dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu SUV berusia 73 tahun dipercayai membuat pusingan U secara mengejut di jalan lurus, sekali gus menyebabkan motosikal berkenaan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu SUV yang membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












