Perdagangan Malaysia 2025 cecah rekod RM3.061 trilion, eksport RM1.63 trilion – PM
KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun 2025 mencatat sejarah baharu apabila jumlah perdagangan negara mencecah RM3.061 trilion, meningkat 6.3 peratus berbanding tahun 2024, hasil strategi kerajaan memperluaskan pasaran dan hubungan dagangan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu adalah hasil pendekatan terbuka Malaysia dalam perdagangan global serta peluasan akses ke lebih 240 pasaran di seluruh dunia.
“Strategi kita ialah memperluaskan pasaran dan ruang perdagangan dan hasilnya, pada tahun 2025 Malaysia telah menjana jualan eksport sebanyak RM45.4 bilion daripada hubungan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, hubungan dagangan tersebut melibatkan pelbagai negara termasuk United Kingdom, Thailand, Rusia, Itali, Perancis, Brazil, China, Republik Korea, Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan dengan tumpuan kepada sektor strategik seperti gas asli cecair (LNG), minyak kelapa sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor, aeroangkasa, perabot serta industri berkaitan lain.
Mengulas cabaran global, beliau berkata Malaysia berjaya menanganinya meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi antarabangsa.
“Kita mampu, Alhamdulillah, kerana dapat merekod jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM3.061 trilion, peningkatan 6.3 peratus ketimbang 2024,” katanya.
Tambah beliau, nilai eksport negara turut mencatat paras tertinggi dalam sejarah apabila mencecah RM1.63 trilion, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, melibatkan pasaran utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
“Pencapaian ini termasuk ASEAN, negara China, AS, EU dan lain-lain,” katanya.
Anwar turut memaklumkan lebihan dagangan negara menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila meningkat 9.2 peratus kepada RM151.80 bilion berbanding tahun 2024.
“Satu hal lain ialah tentang prestasi yang memberansangkan, lebihan dagangan, kita catat lebihan dagangan meningkat 9.2 peratus, iaitu sebanyak RM151.80 bilion ketimbang tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pasaran baharu dalam strategi perdagangan negara dengan beberapa negara mencatat peningkatan ketara.
“Negara-negara yang merupakan pasaran baharu termasuk Kyrgyzstan dengan peningkatan 225.8 peratus, Yemen, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya dan Maghribi,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, pembukaan pasaran baharu itu memberi ruang lebih luas kepada Malaysia untuk mengambil pendekatan perdagangan yang lebih terbuka, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











