Trump ugut Iraq, henti bantuan jika Maliki dilantik semula
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada Iraq supaya tidak melantik semula Nouri al-Maliki sebagai Perdana Menteri, sambil menegaskan Washington akan menghentikan segala bentuk bantuan kepada negara itu sekiranya pelantikan tersebut diteruskan.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan kemungkinan kembalinya Maliki ke tampuk kuasa sebagai satu keputusan yang ‘sangat buruk’ untuk masa depan Iraq.
“Kali terakhir Maliki memegang kuasa, negara itu tenggelam dalam kemiskinan dan huru-hara yang melampau. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berulang.
“Oleh kerana dasar dan ideologi beliau yang tidak munasabah, jika dipilih semula, AS tidak akan lagi membantu Iraq,” tegas Trump.
Beliau turut menyatakan tanpa sokongan Washington, Iraq tidak mempunyai peluang untuk mencapai kestabilan dan kejayaan jangka panjang.
Beberapa agensi berita antarabangsa menyifatkan tindakan Trump itu dilihat sebagai langkah paling agresif setakat ini dalam kempen beliau untuk menyekat pengaruh kumpulan politik dan bersenjata yang dikaitkan dengan Iran di Iraq.

Baghdad sejak sekian lama berada dalam kedudukan sukar, terpaksa mengimbangi hubungan strategik antara dua sekutu utama iaitu Washington dan Tehran.
Sementara itu Al Jazeera melaporkan, penganalisis politik Asia Barat menyatakan kenyataan Trump sebagai isyarat jelas bahawa AS bersedia menggunakan tekanan ekonomi dan diplomatik secara terbuka bagi mempengaruhi pembentukan kerajaan Iraq, khususnya dalam konteks pengaruh Iran yang semakin mengukuh di rantau tersebut.
Sementara itu, The New York Times melaporkan bahawa Washington turut memberi amaran kepada beberapa tokoh politik kanan Iraq mengenai kemungkinan sekatan AS sekiranya kumpulan bersenjata tajaan Iran dilibatkan dalam pembentukan kerajaan baharu.
Amaran Trump itu hadir hanya beberapa hari selepas pakatan blok politik Syiah yang memegang majoriti di Parlimen Iraq memilih Maliki sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri.
Maliki sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama dua penggal.
Menurut BBC News, tempoh pentadbiran Maliki dari 2006 hingga 2014 sering dikaitkan dengan peningkatan keganasan mazhab, konflik kuasa dengan kumpulan Sunni dan Kurdish serta hubungan yang semakin tegang dengan AS.
Walaupun beliau meletak jawatan selepas kumpulan militan Daesh (ISIS) menawan sebahagian besar wilayah Iraq pada 2014, Maliki kekal sebagai tokoh politik berpengaruh melalui pakatan State of Law, selain mengekalkan hubungan rapat dengan puak dan kumpulan yang disokong Iran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












