AGAMA

Persediaan wanita menyambut Ramadan: Antara ibadah, amanah dan keseimbangan kehidupan

SEDAR atau tidak, hari ini sudah memasuki 11 Syaaban di dalam kalendar Islam.

Justeru, berbaki lebih kurang dua minggu sahaja lagi untuk umat Islam menyambut bulan penuh keberkatan iaitu Ramadan.

Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, menjelang ketibaan bulan yang mulia itu, golongan wanita khususnya para ibu dan wanita bekerjaya memikul peranan yang amat besar dalam membentuk suasana spiritual sesebuah keluarga dan masyarakat.

Wanita berperanan sebagai sebagai pendidik, pengurus rumah tangga, pembina generasi dan tunjang kesejahteraan emosi keluarga. – Foto Hiasan

“Mereka bukan sahaja berperanan sebagai hamba Allah yang beribadah bahkan sebagai pendidik, pengurus rumah tangga, pembina generasi dan tunjang kesejahteraan emosi keluarga.

“Justeru, persediaan menyambut Ramadan bagi wanita bukan sekadar persediaan fizikal tetapi merangkumi persediaan rohani, mental, emosi dan spiritual,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Menurut Ustazah Rohamiah, ayat ini menegaskan bahawa tujuan utama Ramadan adalah pembinaan takwa bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga.

Ustazah Rohamiah Muda

“Bagi wanita, takwa itu terzahir melalui keikhlasan mengurus amanah rumah tangga, kesabaran mendidik anak-anak, kejujuran dalam pekerjaan serta kesungguhan mendidik jiwa sendiri.

“Benar, cabaran yang dihadapi golongan wanita terutama pada bulan Ramadan sangat besar, seiring tanggungjawab yang dipikul.

“Oleh itu, mereka perlu membuat persediaan sebaik mungkin agar memasuki bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ketakwaan, selain menyedari amanah yang harus dipenuhi sebagai isteri dan ibu,” jelas beliau.

Berikut Malaysia Tribune kongsikan beberapa tip oleh Ustazah Rohamiah untuk golongan wanita memasuki bulan Ramadan:

1. Persediaan Rohani: Membersihkan Hati dan Niat

Langkah pertama menyambut Ramadan ialah taubat dan pembersihan hati. Imam al-Ghazali RA menegaskan bahawa:

“Hati yang kotor tidak akan mampu merasai kelazatan ibadah.”

Wanita disaran memperbaharui niat, memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan atas kelalaian lalu dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta manusia.

Ramadan
Wanita disaran memperbaharui niat, memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan atas kelalaian lalu dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta manusia.

Bagi wanita yang bergelar ibu, doa menjadi senjata utama kerana ia sangat mustajab, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Tiga doa yang tidak ditolak: doa orang yang teraniaya, doa musafir dan doa ibu terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

2. Persediaan Ilmu: Memahami Fiqh Ramadan

Wanita juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu fiqh puasa khususnya berkaitan haid, nifas, qada puasa, fidyah serta adab ibadah Ramadan.

Ilmu menjadi cahaya yang membimbing amal agar tidak tersasar.

Imam Malik RA berkata:

“Ilmu didahulukan sebelum amal.”

Dengan kefahaman yang betul, wanita mampu beribadah dengan tenang, yakin dan tertib tanpa kekeliruan yang meresahkan jiwa.

3. Persediaan Emosi dan Mental

Ramadan bukan bulan tekanan tetapi bulan ketenangan. Wanita disaran membina keseimbangan emosi, mengurus stres dan tidak membebani diri dengan budaya kesempurnaan yang melampau.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya agama itu mudah dan tidaklah seseorang memberatkan agama melainkan dia akan kalah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Wanita tidak perlu membebani diri dengan pelbagai tuntutan duniawi yang akhirnya menghilangkan roh ibadah Ramadan itu sendiri.

4. Persediaan Keluarga: Membina Suasana Ibadah

Ibu merupakan arkitek suasana Ramadan dalam rumah. Persediaan jadual solat berjemaah, tadarus al-Quran, iftar bersama keluarga dan sahur berjemaah adalah tarbiyah praktikal kepada anak-anak.

Ibu bertanggungjawab memainkan peranan sebagai arkitek dalam membentuk suasana Ramadan di rumah. – Foto Hiasan

Firman Allah SWT:

“Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah atasnya.” (Surah Taha, ayat 132)

Ramadan menjadi madrasah tarbiyah jika wanita berperanan sebagai murabbi di dalam rumah.

5. Persediaan Wanita Bekerjaya

Bagi wanita bekerjaya, Ramadan menuntut kebijaksanaan mengurus masa, tenaga dan emosi.

Niat bekerja sebagai ibadah, mencari rezeki halal dan menunaikan amanah kerja adalah sebahagian daripada ibadah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Golongan wanita bekerjaya perlu bijak membahagikan masa, tenaga dan emosi dalam menghadapi kesibukan bulan Ramadan.

Kerjaya tidak menjadi penghalang taqarrub kepada Allah, bahkan boleh menjadi wasilah mendekatkan diri kepada-Nya.

Tegas Ustazah Rohamiah, Ramadan hakikatnya hadir sebagai madrasah perubahan.

“Bagi wanita, ia adalah peluang untuk membina jiwa, memperbaiki diri, mendidik keluarga dan memperkukuh hubungan dengan Allah.

“Persediaan Ramadan bukan sekadar menu sahur dan iftar tetapi persediaan hati, jiwa dan iman,” ungkapnya.

Sebagaimana kata Imam Hasan al-Basri RA:

“Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum tetapi menahan diri daripada dosa dan maksiat.”

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi persediaan menyambut Aidilfitri juga boleh dilakukan sebelum masuknya bulan Ramadan, kerana pada kebiasaannya golongan wanitalah yang memikul tanggungjawab utama dalam merancang keperluan raya seperti pakaian keluarga, kuih-muih, persiapan rumah dan pelbagai urusan lain.

Semoga para wanita, ibu-ibu dan wanita bekerjaya menyambut Ramadan dengan hati yang bersih, jiwa yang tenang dan iman yang kukuh.

“Jika semua persediaan ini dapat disusun lebih awal sebelum Ramadan bermula, ia bukan sahaja mengurangkan tekanan emosi dan fizikal, malah membolehkan Ramadan itu sendiri dihayati dengan lebih tenang.

“Dengan itu, fokus ibadah dapat diberikan sepenuhnya kepada solat, al-Quran, zikir, doa dan tarbiyah rohani tanpa gangguan kesibukan duniawi yang berlebihan.”

Semoga para wanita, ibu-ibu dan wanita bekerjaya menyambut Ramadan dengan hati yang bersih, jiwa yang tenang dan iman yang kukuh agar Ramadan menjadi bulan perubahan bukan sekadar rutin tahunan, tetapi titik kebangkitan rohani yang berpanjangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button