Abdul Halim mulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Abdul Halim Aman, hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kredibiliti dan pengalaman Abdul Halim dalam bidang perundangan berupaya memberi nilai tambah kepada SPRM.
“Tahniah diucapkan atas pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei 2026 (hari ini).
“Insya Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman dalam jalur perundangan akan terus memberi nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Shamsul Azri turut berkongsi gambar penyerahan watikah pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu.
Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan kontraknya secara rasmi semalam selepas 42 tahun berkhidmat bersama SPRM.
Dalam hantaran sama, Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada Azam sepanjang perkhidmatannya.
“Banyak kejayaan dan reformasi yang dilaksana dalam menerajui SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang unggul.
“Jasa bakti Tan Sri akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












