POLITIK

ADUN Rawang gesa PKR tolak permohonan Tamim Dahri

KUALA LUMPUR – Keanggotaan aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menimbulkan polemik apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menggesa parti itu menolak permohonan pendaftaran yang dikemukakan beliau baru-baru ini.

Menurut Wei Kiat, beliau bimbang penerimaan aktivis kontroversi itu akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat, seolah-olah PKR mengalu-alukan golongan ekstrem dalam menangani isu sensitif seperti agama.

“Andainya PKR menerima permohonan aktivis kontroversi Tamim Dahri untuk menjadi anggota, parti kita akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum, bahawa PKR mengalu-alukan kedatangan golongan ekstrem dalam menangani isu yang melibatkan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sempena ulangtahun ke-18 ‘tsunami politik’, Wei Kiat menegaskan PKR tetap berpegang kepada prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan.

Beliau turut menekankan bahawa walaupun ramai pihak mengambil pendekatan politik keras dalam isu agama dan kaum untuk menarik sokongan tertentu, PKR memilih jalan tengah dan mendamaikan semua pihak yang berbalah.

Tamim sebelum ini dilaporkan mengemukakan borang pendaftaran keahlian PKR pada 5 Mac 2026.

Aktivis Tamim Dahri. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune 

Terdahulu, aktivis itu pernah ditahan bersama pendakwah bebas, Zamri Vinoth dan beberapa individu lain berhubung rancangan mengadakan perhimpunan di luar pusat beli-belah Sogo bagi memprotes kewujudan rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kebenaran.

Perhimpunan itu gagal diteruskan selepas disekat pihak polis.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan bahawa permohonan Tamim masih perlu melalui proses saringan sebelum diluluskan.

“Dia baru memohon kemasukan dan masih perlu melalui proses saringan sebelum diluluskan.

“Ada beberapa prosedur lagi yang perlu dilalui selepas isi borang sebelum boleh jadi anggota yang sah,” katanya memetik laporan FMT.

Chua menegaskan, kini masanya PKR menggilap imej parti dan menyampaikan mesej jelas bahawa tiada ruang untuk provokasi, sentimen kaum atau agama sempit dalam parti.

“Andainya PKR tidak berganjak dari prinsip ini ketika kita menjadi pembangkang, apa alasannya kita mengkhianati idealisme ini ketika kita berkuasa?” katanya.

Beliau juga menegaskan, jika permohonan itu diterima ia memberi gambaran bahawa PKR merestui tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa melibatkan pihak berkuasa.

“Sedangkan kita telah menggariskan syarat agar prosedur undang-undang itu dipatuhi, untuk mengelakkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button