AGC fail notis rayuan pembebasan Yusoff Rawther hari ini
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan bekas penyelidik, Muhammad Yusoff Rawther pada Khamis lalu.
Menurut AGC, pihaknya merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri pada akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 [Akta 206].
“Jabatan ini sudah memfailkan notis rayuan hari ini bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan Muhammed Yusoff, 32, mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pistol dan dadah berkenaan.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September tahun lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Muhammed Yusoff juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada jam 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












