Agong berkenan berkunjung ke ibu pejabat Arabian Oud di Riyadh
RIYADH – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat ibu pejabat Arabian Oud bagi menyaksikan sendiri seni di sebalik pembuatan minyak wangi oud.
Menurut kenyataan Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Arabian Oud, Omar Abudulaziz Sulaiman Al Jasser yang menyampaikan sembah taklimat sepanjang lawatan.
“Sebagai penghargaan atas kunjungan diraja itu, syarikat berkenaan mempersembahkan koleksi istimewa esklusif yang mempunyai nama Sultan Ibrahim, direka khas buat Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan itu.
Sultan Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zain, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman.
Yang di-Pertuan Agong kini dalam lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.
Lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.
Sebagai rekod, Arab Saudi ialah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












