Agong sempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Wilayah Persekutuan 2026
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi Tahun 2026 di Balairung Seri, Istana Negara semalam.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Istiadat berprestij itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 54 penerima atas jasa dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang perkhidmatan kepada negara.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais mendahului senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima Darjah Kebesaran SMW ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada 15 penerima.
Antaranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad; Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Mohd Razib Tahir; bekas atlet badminton kebangsaan, Datuk Soo Beng Kiang serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW) kepada 15 penerima, Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) kepada enam penerima, Ahli Mahkota Wilayah (AMW) kepada lima penerima serta Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) kepada sembilan penerima.
Istiadat pengurniaan itu merupakan antara acara rasmi tahunan yang mencerminkan penghargaan baginda kepada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan awam, keselamatan, pendidikan, sukan serta pembangunan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












