BISNES & EKONOMI

Agrobank lancar dua kempen deposit nasional galak budaya menabung

KOTA KINABALU – Agrobank melancarkan dua kempen deposit peringkat kebangsaan sempena Tahun Baharu Cina bagi menggalakkan budaya menabung secara konsisten dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak dan remaja.

Majlis pelancaran pada 18 Februari lalu disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Dua kempen diperkenalkan ialah Mega Million 3.0: Heng Heng Lai dan Kempen Generasi Muda yang menyasarkan pelanggan dewasa serta golongan bawah 18 tahun.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, kedua-dua kempen tersebut menyokong Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030 dengan memupuk tabiat menabung sejak usia muda, selari aspirasi Ekonomi MADANI.

“Kempen Generasi Muda menggalakkan amalan menabung secara berstruktur dan konsisten sejak usia kecil, manakala kempen Heng Heng Lai pula memupuk disiplin simpanan dalam kalangan pelanggan dewasa,” katanya dalam kenyataan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Mega Million 3.0 berlangsung dari 15 Februari hingga 15 Mac 2026 melibatkan produk AgroPrimaS dengan minimum peletakan RM50,000 bagi setiap sijil. Lapan pemenang berpeluang memenangi kepingan emas Agrobank seberat 10 gram.

Kempen Generasi Muda pula berlangsung setahun sehingga 15 Februari 2027 menerusi produk AgroMuda-i PLUS.

Ia terbuka kepada kanak-kanak seawal usia satu hari dengan syarat meningkatkan Monthly Average Balance (MAB) sebanyak RM100 sebulan.

Seramai 80 pemenang bulanan akan menerima hadiah misteri manakala cabutan akhir menawarkan ganjaran sehingga RM25,500.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button