POLITIK

Ahli PAS Perlis diminta taat kepimpinan, hentikan perpecahan

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan seluruh ahli PAS Perlis supaya kembali memperkukuh perpaduan dan mentaati kepimpinan parti susulan kemelut dalaman yang berlaku di negeri itu.

Beliau berkata, PAS Pusat mempunyai kuasa pentadbiran tertinggi sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 39(1) dan Fasal 39(9) Perlembagaan PAS, selagi tidak bercanggah dengan dasar dan hukum tertinggi parti.

Menurutnya, pelaksanaan dasar hukum tertinggi PAS yang berteraskan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qias pula dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura Ulamak seperti termaktub dalam Fasal 8(1) perlembagaan parti.

“PAS Pusat diwajibkan mentadbir dan melantik jawatan-jawatan di semua peringkat termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri dan Menteri Besar yang wajib ditaati selagi tidak melibatkan perkara maksiat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS Pusat telah melaksanakan proses tabayyun selepas menerima aduan berkaitan salah laku akhlak dan pentadbiran sejurus kemenangan parti di negeri berkenaan.

Beliau memaklumkan beberapa wakil PAS Pusat telah dihantar ke Perlis bagi menjalankan siasatan serta mendengar sendiri penjelasan pemimpin PAS Kawasan.

Menurutnya, tuduhan berkaitan akhlak tidak disertakan dengan saksi yang adil, sebaliknya hanya dakwaan yang akhirnya dikenal pasti puncanya.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan beberapa isu dalaman termasuk sikap tidak berpuas hati kerana tidak dilantik memegang jawatan, dakwaan berlakunya lobi tidak berakhlak dalam mesyuarat agung serta tindakan yang didakwa tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam membuat keputusan secara syura.

Abdul Hadi turut mendakwa terdapat pihak yang gagal mempertahankan perjuangan parti ketika berdepan tekanan luar sehingga menyokong tindakan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PAS di Perlis.

“Kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya PAS yang dilantik sangat tinggi. Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh pimpinan PAS Pusat tanpa alasan sebenar,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli PAS negeri Perlis supaya melakukan muhasabah diri, menjaga kesatuan jemaah serta mengelakkan perbalahan yang boleh melemahkan parti dan memberi ruang kepada pihak lawan mengambil kesempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button