BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ahli perniagaan dipenjara dua tahun, denda RM300,000 simpan kulit harimau

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki kulit harimau di kediamannya empat tahun lalu.

Hakim Zaki Salleh menjatuhkan hukuman ke atas Ng Sing Huat selepas mendapati beliau bersalah di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak pada 1 Ogos 2022.

Mahkamah semalam menegaskan Ng gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam pembelaannya.

Sekiranya beliau gagal membayar denda RM300,000, satu tahun penjara tambahan akan dikenakan.

Zaki juga menasihati Ng supaya tidak mengulangi kesalahan sama dan menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan.

“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan di atas pertuduhan.

“Sebagai seorang manusia, kita semua harus ada kasih sayang, simpati dan empati kepada haiwan yang kita bela. Contohnya anjing dan kucing, kita sayang, kita empati dan kita simpati. Jadi perkara sama harus dipraktikkan kepada haiwan liar. Tidak ada bezanya,” tegasnya memetik laporan Malaysiakini.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selepas peguam Ng, Hasshahari Johari Mawi, memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dibenarkan, namun tertuduh perlu membayar denda dan menyerahkan pasportnya sementara menunggu keputusan rayuan,” kata Zaki.

Deputi Pendakwa Raya, Amanina Anuar, mewakili pihak pendakwaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button