Akmal cabar PM singkir Ahli Parlimen UMNO jika BN tiada peranan dalam Kerajaan Perpaduan
MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekiranya benar Barisan Nasional (BN) tidak memainkan sebarang peranan dalam kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Akmal berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa BN tidak signifikan dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta politik pasca-PRU15.
Menurutnya, UMNO dan BN ketika itu telah bersedia untuk berada di blok pembangkang sebelum dipelawa menyertai usaha membentuk kerajaan.
“Jika kamu dan kepimpinan kamu berasakan peranan BN tiada dalam kerajaan perpaduan ini, maka saya cabar PMX untuk buang semua Ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan ini sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kritikan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mengingatkan mengenai peranan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Akmal berkata, kepimpinan PKR sendiri pernah bertemu pimpinan UMNO selepas PRU15 bagi mendapatkan sokongan untuk membentuk kerajaan.
“Pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu membuktikan BN memainkan peranan penting dalam memastikan kerajaan dapat dibentuk dan kestabilan politik negara dapat dicapai.
“Selepas PRU15, UMNO sudah bersedia untuk menjadi pembangkang. Tetapi pihak yang gagal membentuk kerajaan ketika itu telah meminta bantuan BN untuk menubuhkan kerajaan. Itu adalah fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya lagi.
Beliau turut mempertahankan kenyataan Zahid yang disifatkan sesetengah pihak sebagai angkuh, sambil menegaskan bahawa Presiden UMNO itu hanya menyatakan fakta berhubung realiti politik selepas PRU15.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












