POLITIK

AMK gesa pihak berkuasa siasat dakwaan pertubuhan, individu terima dana asing

CYBERJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa terdapat pertubuhan tempatan termasuk beberapa individu menerima dana asing untuk menjalankan aktiviti politik yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara.

Ketua Pemuda AMK, Kamil Abdul Munim dalam satu kenyataan mendakwa, dana itu digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, termasuk operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi mewujudkan sentimen antikerajaan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.

“Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahgunakan pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memetik laporan yang mendakwa sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menyalurkan lebih RM1.5 juta kepada sebuah syarikat tempatan yang dikaitkan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi beberapa transaksi antara November 2024 dan Jun 2025.

Beliau turut merujuk dakwaan bahawa yayasan itu membuat tujuh transaksi berjumlah RM686,729.00 kepada pengarah eksekutif NGO terbabit dan beberapa individu dikaitkan dengan NGO berkenaan sepanjang 2024 hingga 2025.

“Jika dakwaan itu benar, Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing untuk mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.

“Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara,” katanya lagi.

Tegasnya, alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti membabitkan penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button