BERITA SEMASA

AMK: Istilah ‘melalak’ perlu difahami dalam konteks, jangan dimanipulasi

KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran media sosial berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran tidak wajar dipolitikkan secara berlebihan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, istilah tersebut perlu difahami mengikut konteks sebenar dan bukan dipetik secara terpisah bagi membentuk persepsi yang mengelirukan.

“Kenyataan Perdana Menteri itu bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan terhadap sikap segelintir individu yang membuat tuduhan tanpa asas.

Menurutnya, proses siasatan terhadap kes penghinaan al-Quran sedang dijalankan oleh pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang.

“Malaysia adalah negara yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Setiap tindakan mesti berdasarkan peruntukan undang-undang, bukan tekanan politik atau sentimen emosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak berdiam diri dalam menangani isu tersebut dan tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan terhadap individu yang terlibat.

“Isu melibatkan sensitiviti agama perlu ditangani secara berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan dalam masyarakat majmuk,” katanya lagi.

Kamil turut berkata, AMK menolak sebarang naratif yang menggambarkan kerajaan gagal bertindak dalam menangani kes berkenaan, sebaliknya melihat kenyataan Perdana Menteri sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh.

“Kami menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa tekanan politik bagi memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan telus dan profesional.

“Kestabilan sosial dan keharmonian negara perlu dipelihara daripada sebarang retorik yang boleh mencetuskan sentimen agama atau kaum,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button