BERITA SEMASARENCANA

Andaman Seafood & Dim Sum: Sajian laut premium pada harga restoran

BAGI pencinta makanan laut, tiada yang lebih memuaskan daripada menikmati keenakan hidangan segar dan autentik yang disajikan dalam keselesaan ruang bergaya premium.

Dari kemanisan isi King Crab dan lobster sehinggalah kelembutan rasa dim sum dan beraneka hidangan, restoran seafood kini menjadi destinasi wajib bagi mereka yang mahukan kepuasan santapan sebenar.

Pengalaman kulinari yang pastinya berbaloi itu kini boleh dinikmati tanpa perlu berbelanja sehingga ‘pecah poket’ dengan pembukaan cawangan ketiga Andaman Seafood & Dim Sum, di Sunway Resort Hotel.

Beroperasi sebaris dengan restoran berjenama antarabangsa seperti Gordon Ramsay Bar & Grill dan Black Tap di resort berkenaan sejak November lalu, restoran ini menawarkan lebih daripada 50 hidangan utama dari 11 negara yang dihidang segar dari laut.

Antara tarikan utama adalah cili crab, garlic cili kering, udang tom yam, Thai lemon fish steam, nasi goreng seafood Andaman. Pelbagai gubahan dim sum dan dumpling turut tersedia dengan sentuhan chef dari Singapura yang digubah dengan penuh kreatif dan disediakan setiap hari untuk menjamin kesegaran.

Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Peter Tey berkata, cawangan ketiga Andaman Seafood & Dim Sum itu mempunyai kapasiti sehingga 170 pelanggan dengan dewan utama yang didekorasikan dengan teratur dan elegan.

Katanya, meskipun beroperasi di hotel lima bintang, setiap hidangan di Andaman Seafood & Dim Sum ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.

Peter Tay
Peter Tay pada prebiu media Andaman Seafood & Dim Sum di Sunway Resort Hotel, baru-baru ini.

“Misalnya, hidangan lobster ditawarkan pada harga RM598 sekilogram, manakala ketam dari Indonesia seberat 700g pada RM118, jauh lebih rendah daripada harga biasa yang mencecah lebih RM200.

“Semua bahan laut diimport dari sumber halal yang berkualiti, termasuk Sabah, Australia, dan Alaska,” katanya pada sesi prebiu media restoran itu baru-baru ini.

Untuk lebih privasi katanya, enam bilik tersedia untuk majlis bersama ahli keluarga, korporat atau sekadar bersantai bersama rakan-rakan.

Dengan lebih 200 orang tenaga pekerja di ketiga-tiga cawangan iaitu di Bukit Bintang, Menara Eco World dan Sunway Resort Hotel, restoran yang beroperasi setiap hari dari 9.30 pagi hingga 3.30 petang dan 5.30 petang hingga 10.30 malam itu menjanjikan kepuasan citarasa Asean yang pasti tidak mengecewakan.

“Cawangan pertama dan kedua yang dibuka sejak dua tahun lalu kerap menjadi pilihan pelanggan popular termasuk dalam kalangan kerabat di raja, bekas perdana menteri dan ahli perniagaan terkenal,” tambahnya.

Peter berkata, pembukaan cawangan terbaharu di Sunway Resort Hotel itu menandakan satu lagi langkah besar syarikatnya dalam menawarkan pengalaman kulinari bertaraf dunia.

Kejayaan Andaman Seafood & Dim Sum di Malaysia turut mendorong syarikat itu untuk menembusi pasaran luar negara melalui tawaran terbaharu daripada hotel di Kemboja.

Dekorasi menarik hidangan dim sum dan dumpling.

Mengimbau perjalanan Andaman Seafood & Dim Sum, Peter berkata, langkah pertama syarikat itu bermula pada Disember 2023 melalui pembukaan cawangan pertama di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mampu menempatkan lebih 400 pelanggan dan bilik VIP berhawa dingin.

Pada 2 November 2024, cawangan kedua dibuka di Menara Eco World dengan Andaman Grand Ballroom yang bukan sahaja memperoleh pengiktirafan sijil Halal Jakim, malah menerima anugerah ASEAN Record sebagai grand ballroom pertama yang meraih penghormatan sedemikian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button