BERITA SEMASA

Anwar gesa semua pihak hormati keputusan mahkamah berhubung Titah Adendum

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum dan pengasingan kuasa, susulan penghakiman mahkamah berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam.

Beliau berkata, badan kehakiman mesti terus bebas daripada sebarang pengaruh luar dan prinsip tersebut menjadi asas utama kerajaan dalam menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh hakim.

“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa. Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan mahkamah berkenaan, termasuk memahami bahawa ruang serta saluran perundangan masih tersedia untuk dikemukakan rayuan.

Beliau menjelaskan, saluran tersebut termasuk permohonan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada serta kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan sistem perundangan negara.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru semua pihak supaya menangani isu berkenaan dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan, memandangkan ia melibatkan perkara sensitif serta emosi pelbagai pihak.

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, ketenangan dan sikap bertanggungjawab amat penting bagi memastikan keharmonian masyarakat serta penghormatan berterusan terhadap institusi kehakiman negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button