PENDAPATRENCANA

Apabila para ilmuwan memilih untuk diam

Oleh DR. SITI SALMA WAHIDUDDIN & DR. SITI SURIANI OTHMAN

SEBENARNYA terdapat begitu banyak isu berkaitan dengam dunia pendidikan yang kadang kala tidak kita sedari jika kita bukan berlatar belakang di dalam bidang ini.

Misalnya apabila menyebut gelaran ‘profesor’, masyarakat umum rata-rata mempunyai persepsi bahawa individu tersebut mestilah seorang yang bijak dan cerdik terutama berkaitan bidangnya dan kebijaksanaan itu digunakan untuk kemaslahatan ummah.

Namun hal ini tidak berlaku dalam semua keadaan dan hanya disedari oleh para pendidik khususnya para pendidik di institusi pengajian tinggi.

Ilmuan
Golongan ilmuwan ialah penyuluh jalan dalam masyarakat namun apabila mereka diam, ruang kosong itu akan diisi oleh suara-suara tanpa ilmu, tanpa adab dan tanpa hikmah. – Foto Hiasan

Inilah isu yang dibicarakan dalam satu perkongsian baru-baru ini oleh Prof. Emerita Datuk Dr. Roshada Hashim anjuran USIM Writers’ Pool (UWP) dengan tajuk “The Silent Scholar: When Professors Don’t Profess.”

Perkongsian sempena Minggu Intelektual UWP menerusi program ILMU (Inspirasi, Literasi, Minda dan Ummah) itu menampilkan isu-isu dunia akademik yang jarang dibincangkan namun boleh menjadi barah dalam dunia akademik dan masyarakat keseluruhannya andai tidak diberi perhatian yang mendalam.

Menurut Dr. Roshada, fenomena ‘silent scholar’ atau ilmuwan yang memilih untuk berdiam diri merupakan gejala berbahaya dalam dunia akademik.

Apabila budaya membisu ini menular, ia melahirkan kesunyian dalam pelbagai lapisan iaitu ‘moral silence’, ‘intellectual silence’, ‘institutional silence’ malah ‘public silence’.

Dalam jangka panjang tambahnya, situasi ini bukan sahaja mencemar kesucian institusi ilmu bahkan turut melemahkan suara kebenaran dalam masyarakat.

Apabila ilmuwan tidak lagi bersuara, masyarakat turut kehilangan arah.

Dr. Roshada mengingatkan bahawa tanggungjawab seorang ilmuwan sepatutnya tidak berakhir pada penerbitan artikel atau pencapaian akademik semata-mata.

Kematangan seorang ahli akademik, katanya, diukur melalui kejujuran intelektual dan keberanian moral dalam menegakkan kebenaran dan bukan sekadar kuantiti penerbitan atau gelaran akademik.

Dalam perkongsiannya, beliau turut menyeru agar para sarjana kembali menyoal niat asal mereka memilih dunia akademik. Adakah benar-benar untuk menyebar ilmu dan mendidik atau sekadar mengejar prestij?

Dalam konteks ini, beliau menegaskan bahawa ilmuwan tidak boleh mengkhianati amanah ilmu yang dipikul.

Dengan kepakaran yang ada, maka haruslah ilmu itu dimanfaatkan bukan hanya komuniti universiti tetapi juga masyarakat umum.

Ini mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah tentang tiga golongan yang gagal di mahsyar termasuk mereka yang menuntut dan mengajar ilmu bukan kerana Allah, tetapi kerana nama dan pujian.

Segala pengorbanan mereka menjadi sia-sia kerana tiada keikhlasan yang mendasari perjuangan itu.

Fenomena ilmuwan membisu ini bukan sekadar kehilangan suara akademik, tetapi membawa implikasi besar terhadap pembangunan ummah.

Ilmuwan ialah penyuluh jalan dalam masyarakat namun apabila mereka diam, ruang kosong itu akan diisi oleh suara-suara tanpa ilmu, tanpa adab dan tanpa hikmah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 71 menegaskan bahawa orang beriman sama ada lelaki atau perempuan wajib saling menasihati dalam kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dalam konteks akademik, ini bermakna suara ilmuwan harus terus hidup dalam membimbing masyarakat ke arah kebenaran dan keadilan ilmu.

Rasulullah SAW turut memberikan perumpamaan mendalam melalui hadis sahih riwayat al-Bukhari tentang penumpang kapal yang membiarkan lubang kecil ditebuk di bawah dek. Jika tiada yang menegur, seluruh kapal akan tenggelam.

Begitulah juga hakikat dunia ilmu, apabila kebatilan tidak ditegur, seluruh masyarakat akhirnya terjerumus ke dalam kebinasaan.

Dalam konteks Malaysia hari ini, mesej Roshada amat relevan. Institusi pendidikan bukan sahaja tempat menyebar ilmu, tetapi juga benteng moral dan intelektual negara.

Maka, setiap sarjana, pendidik dan mahasiswa memiliki tanggungjawab kolektif memastikan ilmu menjadi teras perubahan sosial, bukan sekadar wacana di bilik kuliah.

Menegur dengan adab, berdialog dengan hujah, dan bersuara dengan hikmah adalah ciri ilmuwan rabbani yang dituntut Islam.

Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”

Justeru, antara tanda keimanan kepada Allah dan wujudnya Hari Akhirat, seseorang itu hendaklah berfikir sebelum berbicara.

Andai perbicaraannya mendatangkan kebaikan maka teruskanlah namun jika mendatangkan fitnah dan huru-hara, diam adalah baik baginya.

Namun perlu diingat, harga sebuah kebenaran yang didiamkan terlalu mahal kerana diamnya ilmuwan bukan sekadar kehilangan suara, tetapi kehilangan makna ilmu itu sendiri.

Semoga para sarjana terus beristiqamah menyinari ummah dengan cahaya ilmu dan keberanian yang tulus.

* Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr Siti Salma Wahiduddin
Dr Siti Salma Wahiduddin
Dr. Siti Suriani Othman

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button